Saturday, August 6, 2016

Ucapan Terima Kasih


  Alhamdulillah segala puji bagi Allah S.W.T, akhirnya selesai juga peperiksaan pada semester ini terutama dalam subjek Penulisan Kreatif. Ucapan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada Prof. Madya Dr. Mawar Safei dan En. Mohamad Nazri Ahmad yang memberi tunjuk ajar yang berguna. 

  Subjek Penulisan Kreatif ini jika diamati merupakan subjek mengasah serta menajamkan minda dalam kemahiran berkomunikasi serta adaptasi yang lahir melalui jiwa nurani seseorang yang kreatif dalam bentuk penulisan. Memang terdapat anggapan sesetengan pelajar atau masyarakat bahawa novel, cerpen, buku cerita dan kesusasteraan merupakan sesuatu yang remeh dan kurang berkepentingan tetapi jika kita hayati tanpa penulisan mana mungkin akhbar dan buku-buku laris dijual, wujudnya pelbagai blog-blog dan lain-lain lagi sehingga hari ini. Semuanya melalui penulisan, tidak kiralah dalam bentuk apa jua penulisan.


  Penulisan merupakan cermin seseorang, sama ada baik atau tidak terpulang pada penulisnya. Tiada salah atau betul dalam penulisan yang dibuat, semuanya ingin menyampaikan secara kreatif. Penulisan yang dibuat kadangkala melalui pengalaman, luahan perasaan serta maksud tersirat yang ingin disampaikan. Bukan sahaja membabitkan satu golongan malah sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburinya. Nyatalah bidang penulisan ini tiada batasannya, semua manusia di muka bumi ini layak meluahkan pendapat atau idea-idea dalam penulisan. justeru itu jelaslah mana mungkin, penulisan kreatif bukanlah sesuatu yang tiada berkepentingan. 



  Buat Prof. Madya Dr. Mawar Safei dan En. Mohamad Nazri Ahmad sekali lagi aku mengucapkan ribuan terima kasih serta mohon halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Mohon maaf jika diri ini ada membuat kesalahan serta kecil hati. Semoga suka duka kita bersama sentiasa menjadi kenang-kenangan. Amin..

Salam Sayang,
Ahmad Nazri Ismail/ GB02352
Pengajian Bahasa Melayu (sastera)



A History Of Classical Malay Literature-Karya R.O Winstedt

Richard Olaf Winsterd

Secara ringkasnya Richard Olaf Winstedt(R.O Winstedt) merupakan salah seorang pengkaji yang terkenal dalam pengumpulan cerita–cerita sastera rakyat sejak zaman British di Tanah Melayu. Beliau asalnya merupakan seorang pegawai tinggi British di Tanah Melayu, tetapi minat yang mendalam terhadap sastera Melayu mendorongnya menerbitkan buku-buku sastera Melayu terutamanya semasa beliau menjawat sebagai pegawai penterjemah di Pejabat Karang Mengarang di Sultan Idris Trainning College (SITC).

 Banyak buku-buku yang diterbitkan serta dibukukan oleh beliau, salah satunya buku A History Of Classical Malay Literature yang menghimpunkan pengumpulan kisah-kisah sastera Melayu tradisional seperti Cerita Jenaka, Cerita Hikayat, Puisi dan sebagainya. Hari ini aku ingin menghuraikan sedikit melalui pembacaan buku tersebut terutama berkaitan Sastera Rakyat.

*aku cadangkan buku ini dibaca, bermanfaat, penilaiannya terpulang pada anda.

  Aku cuba memahami keseluruhannya buku tersebut walaupun penggunaan bahasa yang berbeza (B. Inggeris) menyebabkan pemahaman aku agak terhad tambahan pula bahasa yang digunakan adalah bahasa-bahasa sastera dan lama dalam konteks ayat. Apa yang aku dapat simpulkan melalui pengamatan aku,  

  R.O Winstedt membuat penilaian dalam bukunya yang menyatakan, keseluruhan pengisian di Alam Melayu ini dipengaruhi dari unsur-unsur luar seperti dari peradaban Hindu-Buddha, Parsi-Islam, Jawa dan sedikit dari China dan barat dalam pengumpulan kisah-kisah sastera melayu tradisional seperti Sastera Rakyat. Walaupun ada sesetengah mempunyai perbezaan dari segi watak dan keadaan, tetapi dari segi jalan cerita dan pengakhiran mempunyai persamaan. Winstedt juga seperti merendah-rendahkan minda masyarakat melayu dengan menekankan bahawasanya orang melayu tidak menghasilkan sastera sendiri, karya yang yang dihasilkan oleh penulis melayu juga, bukanlah seorang melayu yang tulen tetapi  penulis yang mempunyai darah kacukan terutamanya dari India dan Arab.

Disini aku tidak bersetuju kenyataannya, ini kerana kajian yang lakukan tidaklah begitu ilmiah, boleh dikatakan kesemua cerita-cerita ini mempunyai unsur yang kuat dalam suasana kehidupan  masyarakat melayu terutama dari segi plot cerita dan watak. Walaupun ada mempunyai persamaan di bahagian-bahagian tertentu ini adalah secara kebetulan, Kini cerita-cerita ini telah mewarnai serta menjadi hak warisan masyarakat Melayu. 

Untuk menilainya, kita perlu melihat gambaran terhadap masyarakat terdahulu yang melahirkan cerita-cerita tersebut, kemungkinan ia memberi gambaran serta kewajaran kita dalam suasana, sikap serta maksud tersirat yang disampaikan. Hal ini penting kerana sastera rakyat ini hakikatnya bukanlah kisah tersebut yang menjadi kepentingan, akan tetapi memberi pengajaran, kewajaran, teladan dan sikap murni yang ada dalam kisah tersebut perlu dimanfaatkan tambahan pula pengkaji-pengkaji kita pada hari ini tidak pernah mempersoalkan kewajaran Sastera Rakyat tersebut.


Legasi 146 Tahun, Tanjung Malim

  Tanjung Malim bukan sahaja dikenali bandar pendidikan kerana kewujudan SITC (UPSI) pada hari ini, malah ia sebuah daerah yang menarik untuk dilawati terutama kesan-kesan peninggalan era kolonial. Sempena pengisytiharan tanjung Malim sebagai daerah Muallim iaitu daerah ke 11 perak, aku ingin menyoroti perkembangan tanjung malim secara kronologi mengapa ia merupakan sebuah daerah yang istimewa.

Semoga video (informasi) yang dipaparkan ini memberi maklumat yang berguna dan bermanfaat kepada anda semua.

*ps: silalah berkunjung ke Tanjung Malim.. :)




Thursday, August 4, 2016

Penulisan Karya -Salahudin Ayubi "Penakluk Jurusalem"

Seperti yang aku nyatakan sebelum ini Karya penulisan Abdul Latip Talib merupakan salah satu penulisan yang aku yang aku minati, Disini aku ingin berkongsi lagi salah satu penulisannya iaitu "Salahudin Ayubi, Penakluk Jurusalem".

Sinopsis: Menceritakan tentang Salahudin Ayubi, merupakan pahlawan islam yang berjaya menakluk semula Kota Jurusalem melalui perang Salib. Dalam penulisan itu, pelbagai cara dan strategi bijak yang disusun oleh beliau bagaimana untuk menakluk semula Kota tersebut.

Ulasan: Kisah ini merupakan kisah fakta dan realiti dalam sejarah Islam, hanya penulisannya digarap supaya wujudnya interaksi atau dialog yang digunakan oleh penulis seolah-olah pembaca berada dalam situasi tersebut. Apa yang dipaparkan bukan sahaja untuk menarik minat membaca malah memberi kesedaran serta teladan kepada masyarakat islam tentang sejarah islam itu sendiri dan informasi siapakah itu salahudin Ayubi, apakah itu kota jurusalem dan lain-lain lagi yang sering menjadi tanda tanya khasnya masyarakat islam pada masa kini.





Filem Mamat Khalid

Salam Semua, 
  
  Man Laksa, Rock, Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan lain-lain lagi adalah antara hasil karya paling berkesan daripada pengarah terkenal, Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad b. Mohd Khalid. 

 Apa yang menyebabkan aku berminat untuk menghuraikan, kisah filemnya agak berbeza dengan filem-filem yang lain. Selain itu filem arahannya banyak berlatar belakangkan budaya masyarakat kita baik dari segi watak, latar, konsep dan sebagainya. Sentiasa membuat kisah genre ala-ala seram komedi serta diselitkan dengan unsur-unsur permasalahan masyarakat terutama mengetengahkan isu-isu semasa baik politik, ekonomi mahupun sosial. 
  
  Merupakan adik kepada Kartunis Lat, beliau sentiasa menghasilkan filem-filem tersebut berlatar belakangkan di negeri kelahirannya iaitu Perak. Apa yang aku paparkan ini hanyalah sebahagian coretan mengikut pandangan aku. Tetapi apa yang aku kagumkan adalah sifat sederhana, serta sikap ramah beliau kepada peminatnya dan aku adalah sebahagiannya.

 Pengarah Mamat Khalid
://sumber google

 Aku pernah terlibat secara langsung dengannya, ia berlaku apabila tempat aku bekerja dijadikan sebagai tempat penggambaran filem arahan beliau iaitu "Menghonjang Mahkluk Muzium". Agak penat, tetapi ini adalah pengalaman yang menggembirakan. Penggambaran yang berlangsung selama sebulan dan sepenuhnya dibuat di Muzium Pendidikan Nasional serta berlatar belakangkan Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Sinopsis: Cerita ini mengisahkan tentang pihak sebuah muzium yang menganjurkan pameran hantu-hantu dunia dalam usaha menarik orang ramai kembali datang ke muzium. Penganjuran pameran hantu dunia ini tanpa disedari dirancang oleh pihak tertentu dalam usaha untuk menghidupkan Dracula. Bagaimanapun, rancangan licik kumpulan ini disedari oleh patung-patung tokoh lama yang mempunyai semangat untuk memastikan rancangan ini gagal. Perak Man, Sultan Melaka, Bendahara, Datuk Maharaja Lela bersama si Putum terpaksa berkomunikasi dengan orang luar yang mereka boleh percayai bagi menggagalkan rancangan jahat kumpulan itu. 

 Bersama Pengarah Abang Mamat..

 Bersama Kru Filem

Elizabeth Tan, jemputan untuk tayangan perdana..

 bersama Abang Mamat waktu tayangan perdana..

Sempat juga bergambar dengan Awal Shaari hehe..

Thursday, July 21, 2016

Penulisan Karya: "Aku Budak Minang" & "Aca"

  Selain dari pembacaan Novel dan Cerpen, aku juga ingin berkongsi buku koleksi Pelawak Ujang. "Aku Budak Minang" dan "Aca" merupakan terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd Di bawah jenama Gila-Gila.

  Sinopsis"AKU BUDAK Minang" merupakan karya kartunis tersohor Ujang. Dalam buku ini, ia mengisahkan perjalanan hidupnya dibesarkan keluarganya di Negeri Sembilan. Perjalanan yang berliku dari seorang anak kampung yang mempunyai semangat dan wawasan untuk mencapai kejayaan. Walaupun begitu terdapat halangan dan cabaran yang perlu ditempuhinya sama ada cabaran itu datang dari keluarga, rakan-rakan dan lain-lain lagi.

  Sinopsis : "ACA" merupakan karya kartunis Ujang, boleh dikatakan buku ini merupakan sambungan kepada buku Aku Budak Minang. Dalam buku ini kebanyakkannya meceritakan riwayat ujang sendiri dam adiknya "Aca", dimana mereka telah dipinggirkan oleh adik beradik yang lain. Hanya Atuk, Ujang dan Aca serta rumah peninggalan keluarga mereka sahaja yang menjadi peneman setia. 

  Ulasan : jika kita membaca kedua-dua buku ini, kita tidak boleh lupa dengan kartunisnya Ujang, cerita yang bersahaja terutama dari segi gaya bahasa. Yang menarik, buku ini banyak mengisarkan kehidupan dan suasana kampung. Orang kampung yang berhijrah kebandar, masyarakat kampung yang mempunyai  hasad dengki dan iri hati dan pelbagai lagi. Buku ini juga diselitkan dengan unsur-unsur membina, rajin dan baik hati. Yang lebih menariknya, buku ini bukanlah rekaan semata-mata tetapi merupakan pengalaman yang dilalui sendiri oleh Kartunis Ujang.


Kedua-duanya merupakan buku kesayangan aku..

SITC-UPSI

   Di ruangan kali ini aku ingin berkongsi sedikit tempat aku menimba ilmu pengetahuan secara tidak formal dan juga tempat aku mencari rezeki iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak.


UPSI suatu ketika dahulu..

  Merupakan sebuah Institusi Pendidikan yang melatih guru-guru, perkembangan UPSI telah melalui beberapa fasa:
  • Sultan Idris Trainning  College 1922-1957
  • Maktab Perguruan Sultan Idris 1957-1987
  • Institut Perguruan Sultan Idris 1987-1997
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris 1997-Kini

Kini dijadikan sebagai sebuah Muzium

  Sejak penubuhannya, institusi ini telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka di Malaysia seperti Harun Aminurrashid, Aminuddin Baki, Ibrahim Yaakob, Zaba dan ramai lagi dari pelbagai bidang sama ada bidang pendidikan, sastera, politik dan lain-lain lagi.

  Kini bangunan utama yang menjadi mercu kebanggaan UPSI telah dijadikan sebagai Muzium Pendidikan Nasional. 







Silalah Berkunjung Ke Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris

FB :  https://www.facebook.com/MuziumPendidikanNasional/

Tuesday, July 19, 2016

Penulisan Karya: Dia Bukan Bidadari oleh Myra Ameer




    Sinopsis: Cita-cita Nur Jannah Zahra sejak dia berusia dua belas tahun lagi adalah mahu berkahwin dengan anak orang kaya dan hidup senang. Demi mengejar apa yang diimpikan itu, setiap pesanan orang tuanya, langsung dibuang ke tepi. Hidup dalam kepura-puraan apabila berada di bandar, dia tidak memakai yang menutup aurat tetapi apabila dia pulang ke kampung orang tuanya, dialah perempuan melayu terakhir. Berbekalkan rupa paras yang cantik, penampilan menarik dan gaya yang sedikit menggoda, lantas membuat lelaki tertawan dengannya. Pelbagai syarat yang dikenakan oleh Nur Jannah untuk lelaki-lelaki yang ingin mendekatinya. Tetapi tidak lama Nur Jannah mula goyah ketika melihat  kepada pemilik nama Syed Azrai Mikael Tan Sri Syed Jalal. Pelbagai peristiwa, halangan dan rintangan selepas itu apabila Nur Jannah mula mahu bersamanya.

    Ulasan: Penulis dapat membawa jiwa pembaca dengan pelbagai emosi dan unsur seperti romantik, sedih, kecewa dan jenaka. Dialog yang digunakan adalah bersahaja termasuk penggunaan bahasa yang sering digunakan oleh masyarakat sekeliling memudahkan lagi pembaca memahaminya. Kisah antara cinta dan persahabatan telah menyebabkan banyak pengorbanan yang perlu dibuat bagi memastikan jalinan percintaan mereka terus subur. Disinilah kita dapat melihat pelbagai adegan dan drama yang mencuit hati serta pengorbanan sama ada memilih  persahabatan atau cinta.


Penulisan Karya: Rahsia Antara Kita oleh Barbara Delinsky


"The Secret Betwen Us" merupakan novel karya Barbara Delinsky, secara jujurnya aku tertarik dengan novel ini kerana muka hadapannya. Selain mempunyai perkataan "rahsia" harganya juga berpatutan berbanding dengan novel-novel lain hehe..

    Sinopsis: Menceritakan tentang kasih sayang dan pengorbanan ibu terhadap anak perempuannya yang tidak akan ada apa yang boleh memecahkan ikatan mereka. Pada satu malam, Deborah Monroe dan anak perempuannya, Grace, memandu pulang dari parti apabila kereta mereka melanggar seorang lelaki yang tengah berlari dalam kegelapan. Grace berada dalam ketakutan kerana lelaki yang dilanggar itu adalah cikgu sejarah Grace yang bernama Encik McKenna. Deborah perasan ketakutan yang dialami oleh Grace lalu dia bercadang menghantar Grace pulang ke rumahnya dahulu sebelum polis tiba. Grace adalah seorang doktor dan mendapati Encik McKenna masih bernyawa tetapi tidak sedarkan diri. Deborah bertekad untuk melindungi Grace dari ditahan oleh pihak polis dan mengambil tanggungjawab ke atas kemalangan itu kerana Grace yang membawa kereta itu sehingga melanggar Encik McKenna. 

    Ulasan: Penulis ini membesar di pinggir bandar Boston, Amerika Syarikat. Penulis ini sering kali bercerita dengan emosi, menyentuh minda dan hati pembaca dengan cerita halus tenunan drama domestik dan hubungan. Penulis juga menggunakan olahan bahasa dan gaya bahasa yang digunakan amat mudah difahami. Cerita ini tidak dapat dilupakan tentang membuat pilihan yang buruk atas sebab-sebab yang betul dan web penipuan yang boleh terlepas keluar dari kawalan. Pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu terhadap anak perempuannya yang sangat menyentuh hati kerana ibunya sanggup bertanggungjawab ke atas kemalangan yang dilakukan oleh anak perempuannya yang tanpa sengaja. 




Penulisan Karya: Satu Malam Musim Luruh oleh Maxim Gorky


"One Autumn Night" merupakan cerpen dalam American Literature 100 Great Short Stories. Disini aku ingin kongsikan kepada pembaca berkenaan cerpen tersebut yang menarik minat untuk dibaca bersama.  

   Sinopsis: Menceritakan tentang sebuah bandar yang sebelum ini dikelilingi bangunan-bangunan yang cantik dan penduduk yang sangat berdisplin. Bandar tersebut sangat terkenal terutama musim luruh selain menjadi pusat kapal wap, kehidupan bandar itu sangat meriah dan sibuk tetapi kini menjadi sunyi sepi. Penulis menceritakan seolah-olah ketika itu tiada apa-apa, sehelai sepinggang, tiada penginapan. Ketika dia berjalan untuk mencari makanan  dia ternampak seorang perempuan yang bernama Natasha sedang menggali parit di dalam pasir dengan tangannya. 

   Penulis cuba membantu Natasha menggali pasir tersebut sehingga terjumpa sebuah peti besi yang berkunci. Setelah dibuka apa yang ditemui hanyalah terdapat bakul yang mengandungi bulu tebal dan pelindung matahari. Penulis merasakan usaha mereka sia-sia sahaja. Natasha terjumpa roti disebaliknya dan mereka berkongsi makanan tersebut. Natasha mula bercerita tentang kehidupannya yang dalam penuh kepayahan. mempunyai seorang kekasih yang sering memukulnya ketika lelaki itu mabuk. Mereka saling berkenalan dan bercerita sehingga mereka terlelap. Selepas hari itu, mereka tidak bertemu lagi. selepas kejadian itu, penulis tidak pernah lagi berjumpa dengan Natasha, ia juga berdoa serta mengharapkan Natasha berada dalam keadaan selamat dan baik-baik sahaja.

   Ulasan: Jika kita teliti, kehidupan bandar yang penulis ini ceritakan adalah yang sebelum ini sangat maju tetapi jika muncul musim luruh bandar itu kelihatan sangat suram dan muram. Kehidupan penulis dan seorang wanita yang bernama Natasha hidup dalam kemiskinan sehingga sangat terdesak mencari makanan untuk alas perut. Mereka berkongsi masalah, saling memahami dan mula muncul rasa sayang dari diri pencerita terhadap Natasha. Cerita pendek ini sewajarnya mempunyai unsur yang membina serta pengajaran yang dapat kita lihat dan diperjelaskan. Contohnya, minum arak menjadikan otak dan akal kita tidak waras sehingga menjadikan kita akan bertindak di luar jangkaan seperti memukul dan tabiat yang negatif. Jadi kita hendaklah menjauhi aktiviti-akviti yang negatif seperti minum arak, berjudi dan meminjam duit dan sebagainya.






https://americanliterature.com/author/maxim-gorky/short-story/one-autumn-night


Sunday, July 17, 2016

Penulisan Karya: Penegak Agenda Yahudi

Karya penulisan Abdul Latip Talib merupakan karya yang aku yang aku minati, Disini aku ingin berkongsi salah satu karya beliau hasil pembacaan yang telah dibuat olehku iaitu "Mustafa Kamal Artartuk, Penegak Agenda Yahudi".

Sinopsis: Menceritakan tentang asal usul Mustafa Kamal Ataturk yang merupakan bapa sekularisme Turki. Bagaimana beliau berjaya menjadi tokoh yang disanjung dalam menggerakkan serta membawa kemuncak kejayaan tentera Turki dalam peperangan dan menghapuskan pemberontakan. Reputasi yang ada padanya telah memerangkap Institusi Khalifah Islam yang dipelopori Khalifah Uthmaniyah kononnya ingin membuat pembaharuan dan permodenan terutama kepada golongan muda Turki.Pembaharuan yang dibuat oleh beliau yang terlalu berunsurkan barat mengejutkan banyak pihak.

Ulasan: Jika kita meneliti, adalah bagaimana interaksi atau dialog yang digunakan oleh penulis seolah-olah pembaca berada dalam situasi tersebut. Dialog yang bersahaja termasuk penggunaan bahasa yang sering digunakan oleh masyarakat sekeliling memudahkan lagi pembaca untuk memahaminya. Sewajarnya buku ini mempunyai unsur yang membina serta pengajaran yang dapat kita lihat dan diperjelaskan. Walaupun ia adalah novel sejarah, dialog yang dibina mungkin mempunyai unsur rekaan tetapi ia bukanlah dilakukan tanpa fakta atau kajian-kajian yang dibuat oleh penulis. (Boleh dilihat dalam buku tersebut, kajian yang dilakukan oleh beliau.)



Ulasan Penulisan

     Membicarakan soal raya, tidak lupa juga tugasan yang diberikan terutamanya sinopsis dan ulasan terhadap sudut pembacaan buku atau novel yang dibuat. Dalam menyatakan tentang pembacaan tersebut, Perkara ini aku telah lakukan sejak awal lagi, terutama pada awal pembabitan kerjaya aku di Institusi Pengajian Tinggi (UPSI), 2008. 

    Sememangnya membaca buku, novel dan sebagainya merupakan perkara yang aku minati tambahan pula dengan kerjaya yang aku ceburi, adalah perlu untuk aku melakukan perkara-perkara sebegini. Selain menambahkan ilmu pengetahuan, ini adalah satu cara untuk aku berkongsi kepada mereka bukan sahaja memberi input tentang sejarah pendidikan negara malah pelbagai ilmu yang berguna dapat disampaikan serta diketengahkan dalam memberikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada masyarakat khususnya kepada pelajar dan pengunjung.

    Insha Allah, semoga perkongsian berkaitan buku, novel dan sebagainya melalui pembacaan oleh ku, dapat memberi manfaat kepada rakan-rakan untuk melihatnya. Maaf andai ada salah dan silap.

Yang Benar,

Ahmad Nazri bin Ismail.











Friday, July 15, 2016

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1437H

Syawal 9,

Sudah lama rasanya tidak post  sesuatu disini akibat kesibukan dengan kerja tambahan pula sedang membuat persiapan untuk sambutan Hari Raya. Dikesempatan ini, rasanya belum terlambat untuk aku ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia amnya. Semoga kita memperoleh keberkatan dan kerahmatan dariNya.







Sunday, June 12, 2016


Ramadhan ke 7, 
    Selamat berpuasa kepada semua umat islam, semoga diberkati dalam bulan ramadhan yang barokah ini. Kebiasaan pada bulan puasa ini pelbagai cerita yang menarik terutama dari perihal juadah, warna untuk baju raya. Aku seperti biasa tiada yang menarik, sedikit harapan supaya bulan puasa ini aku dilimpahi dengan rezeki yang baik, mendapat keberkatan dan ganjaran pahala. 




Saturday, June 11, 2016



Pada tika ini, aku lambat menghasilkan sebuah penulisan akibat kesibukan yang melampau tambahan pula dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan.. 

Selamat menyambut Bulan Ramadhan Kareem. Mohon ampun dan maaf kepada umat manusia. Semoga beroleh ganjaran di dunia dan akhirat.




Wednesday, June 1, 2016



Cerpen, singkatan untuk cerita pendek, ialah suatu bentuk prosa naratif dan bersifat cereka. Biasanya cerpen mengandungi jumlah watak yang sedikit di antara satu sehingga empat dengan tema yang satu dan plot yang ringkas. Cerpen berasal dari cerita lucu berprosa, keadaan yang dilakar dengan pantas yang dengan cepat sampai kemuncaknya, selari dengan tradisi penceritaan lisan.

Menurut Hashim Awang, cerpen ialah cerita pendek yang membawa persoalan bagi menghasilkan kesan yang indah dan juga memusatkan diri kepada watak dalam situasi, di tempat dan ketika yang sesuai. Manakala Othman Puteh mengatakan cerpen ialah cerita pendek yang direka, berbentuk prosa, relatif pendek dan mengutamakan kekuatan daya imaginasi, kreativiti, kecerdasan akal bagi mengusik kepekaan pembaca. 



Thursday, May 5, 2016

Diri Saya





Ini kali pertama aku menulis sesuatu. Dalam blog atau dalam laman web sesuatu yang janggal untuk aku lakukan. Sekiranya bukan kerana subjek penulisan kreatif ini, mungkin aku tidak menulis.. 

Terima kasih kepada Prof. Madya Dr. Mawar Safei yang memberi ruang untuk aku melakar sesuatu di sini. Hidup ini bukan sesuatu yang statik, anda berusaha pasti anda berjaya, anda cekal anda mampu menempuhinya. Tiada manusia yang tidak mahu berubah, tetapi adakah kita bersedia untuk perubahan itu???

Pelajar   : Pengajian Bahasa Melayu (sastera) UKM Bangi.
Sem       : Tahun 2/ Sem 4
subjek    : Penulisan Kreatif
Pensyarah : Prof. Madya Dr. Mawar Safei

Nama      : Ahmad Nazri Bin Ismail
Asal      : Ipoh, Perak
Pekerjaan : Pen. Kurator di Muzium Pend. Nasional, 
            UPSI Tg Malim.Perak